Kenapa Maulid Harus Dihapuskan
Kalau baca artikel di bawah ini, acara maulud sudah bercampur aduk dengan syirik, khurafat, tahyul, dsb. Namun menghapus acara maulid seperti bukanlah mudah, karena sudah dianggap sebagai budaya lokal. Mereka yang mencoba menghilangkan praktek-praktek yang melanggar aqidah dan juga bid’ah ibadah, akan mengalami tantangan dari masyarakat
Kemeriahan tradisi Maulud di Jawa
LAIN padang lain belalang. Tradisi menyambut Maulud Nabi atau di negara kita dikenali sebagai Maulidur Rasul di Pulau Jawa juga berbeza antara daerah dengan daerah. Peringatan menyambut ulang tahun keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. di Jakarta berlangsung di dataran Monumen Nasional (Monas) dengan pelbagai acara pengajian dan ceramah.
Puluhan ribu umat Islam membanjiri lapangan Monas Khamis lalu untuk memohon doa sementara di wilayah Banten, masyarakat Islam menziarah dan berdoa di makam yang dianggap keramat dan wali untuk meminta hajat.
Bagaimanapun di Jawa Tengah dan Jawa Barat, tradisi Maulud Nabi disambut mengikut adat dan budaya keraton masyarakat Jawa.
Di Solo, ribuan umat Islam turun ke kota, berarak membawa “gunungan”, iaitu makanan dan hasil pertanian dari kompleks keraton ke Masjid Agung. Perarakan diiringi pemain-pemain muzik tradisi dan para pahlawan yang membawa tombak dan panah mengawal dua gunungan.
Gunungan suami mengandungi sayur-sayuran, buah-buahan sementara gunungan isteri dibuat daripada kuih-kuih kering.
Apa yang menarik, belum pun acara selesai, orang ramai yang menghadiri perayaan itu berebut-berebut mengambil makanan dan hasil pertanian yang ditimbun seperti sebuah Gunung Merapi itu.
Penduduk yang menunggu sejak pagi tidak sabar untuk mendapatkan bahagian masing-masing. Walaupun mendapat sedikit sahaja makanan atau memadai sisa dari bekas gunungan itu, sudah cukup untuk membawa berkat.
Masyarakat di daerah Solo dan Yogyakarta percaya perayaan seumpama itu yang disambut sejak turun-temurun akan membawa tuah dan dilimpah rezeki apabila tiba musim menuai.
Masyarakat kampung juga percaya, tanah yang menjadi sumber kehidupan akan menjadi lebih subur dan perniagaan mereka akan bertambah maju dan mensejahterakan keluarga.
Kesyukuran
Gunungan makanan itu juga merupakan salah satu bentuk kesyukuran masyarakat kepada Tuhan sempena hari keputeraan Nabi Muhammad selain bentuk ikatan perpaduan antara rakyat dengan raja atau dalam bahasa Jawa di sebut “manunggaling kawula lan gusti.”
Selain Solo dan Yogyakarta, ribuan masyarakat Jawa di Cirebon menyertai acara ” Panjang Jimat” atau perayaan pusaka nenek moyang.
Walaupun perayaan itu diamalkan secara tradisi dan mengikut adat masyarakat setempat, ia dimulai dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, selawat, berzanji dan umat Islam sentiasa diingatkan supaya mencontohi sikap dan perilaku Rasullulah.
Seperti juga di tempat lain, makanan “nasi jimat” yang diarak dibahagikan dan menjadi rebutan orang ramai kerana dikatakan membawa berkat.
Popularity: 1% [?]










Leave your response!